Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof mengetuai delegasi dari Kementerian Pertahanan ke Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan Asia Tenggara–Amerika Syarikat, iaitu mesyuarat sampingan Dialog Shangri-La ke-22 anjuran Institute for Strategic Studies' (IISS) yang diadakan kelmarin di Republik Singapura.
Turut menyertai delegasi ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Republik Singapura, Puan Yang Terutama Hajah Noor Qamar binti Haji Sulaiman.
Mesyuarat tidak rasmi tersebut menghimpunkan Menteri-Menteri Pertahanan dan wakil negara-negara Asia Tenggara termasuk Timor Leste dan Amerika Syarikat (AS), dan dipengerusikan oleh Setiausaha Pertahanan AS, Yang Berhormat Pete Hegseth, bagi membincangkan cabaran keselamatan serantau termasuk cara untuk memperkukuh keupayaan ASEAN dan meningkatkan penglibatan serta kerjasama antara AS dan negara-negara serantau.
Semasa mesyuarat ini, Yang Berhormat menegaskan komitmen NBD untuk terus melibatkan diri dan mengukuhkan kerjasama dengan AS, termasuk melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus), demi memastikan keamanan dan kestabilan rantau ini.
Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II juga telah berpeluang mengadakan perjumpaan dua hala berasingan dengan Menteri Koordinasi bagi Sekuriti Kebangsaan dan Menteri Ehwal Dalam Negeri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama K. Shanmugam, dan Menteri Koordinasi bagi Perkhidmatan Awam dan Menteri Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Chan Chun Sing, yang menggariskan tahap hubungan dua hala yang sangat kukuh dan istimewa antara NBD dan Republik Singapura.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Infofoto